Sunday 4 September 2011

Piala Malaysia kembali lagi!


Lupakan seketika EPL atau La Liga kerana malam ini akan bermulanya saingan Piala Malaysia edisi ke-85, satu kejohanan bolasepak yang berprestij di Malaysia dan antara kejohanan yang tertua di rantau Asia.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu Piala Malaya), sebanyak 14 pasukan telah berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia. Selangor masih mendahului dengan 32 kejuaraan manakala MPPJ merupakan satu-satunya pasukan berstatus kelab yang bergelar juara.

Piala Malaysia mempunyai nostalgianya yang tersendiri kepada setiap peminat bolasepak tempatan termasuk penulis. Sekitar lewat 80-an, ayah penulis kerap membawa kami ke Stadium Merdeka untuk menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan Kuala Lumpur.

Ketika itu, skuad warga kota sangat gah dibarisi trio import Singapura - Fandi Ahmad, K Kannan dan Malek Awab di samping pemain-pemain tempatan seperti Subadron Aziz, Lim Teong Kim, Rashid Hassan, Saidin Osman, Chow Siew Yai, Tang Siew Seng, Razip Ismail dan Ramlan Askolani.

Trio import Kuala Lumpur membantu Kuala Lumpur menjuarai
Piala Malaysia 1988 selepas membelasah Kedah 3-0


Pasukan-pasukan lain juga tidak ketinggalan hebatnya seperti Selangor, Johor, Singapura, Perak, Pahang dan Kedah. Antara bintang-bintang yang menjadi pujaan termasuklah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Norazam Ishak, Ahmad Sobri, Lee Kin Hong, Zainal Nordin, Hussin Jaafar, Zoran Nikolic, Karel Stromsik, Anuar Abu Bakar, Ervin Boban, Alistair Edwards, Abbas Saad, Azizul Abu Haniffah dan Alan Davidson.

Penulis bersama rakan-rakan UIAM yang menyaskikan
perlawanan akhir Piala Malaysia 1998


Piala Malaysia turut meninggalkan kenangan 'manis' bagi penulis dan rakan-rakan sepengajian di UIAM yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 1998 antara Perak dan Terengganu. Gara-gara tiada perkhidmatan bas Metro selepas jam 11 malam, kami terpaksa berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Pusat Matrikulasi UIAM di Seksyen 17 Petaling Jaya! Penat tapi seronok!

'Berehat' sebentar di roundabout Seksyen 17 Petaling Jaya

Pada tahun ini, sebanyak 16 pasukan akan bertanding dan dibahagikan kepada 4 kumpulan sepanjang saingan yang bermula 9 september hingga 29 oktober 2011.

Kumpulan A : Kedah, Perak, Sabah, Johor

Kumpulan B : Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS FC, Sime Darby

Kumpulan C : Kelantan, Johor FC, Felda United FC, Sarawak

Kumpulan D : Selangor, T-Team, Kuala Lumpur, PDRM

Bagi penulis, tumpuan pastinya terarah kepada 2 pasukan Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu serta gergasi Lembah Klang, Selangor yang mengimpikan kejuaraan ke-33. Namun, jangan ketepikan pasukan-pasukan 'dark horses' seperti Kedah, Negeri Sembilan atau Perak yang mampu memberikan saingan. Selain itu, pasukan-pasukan berstatus kelab seperti T-Team atau Sime Darby mungkin melakukan kejutan.

Marilah kita sama-sama memenuhkan stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita. Majulah bolasepak untuk negara!


~ruudvanirwan~




No comments:

Post a Comment