Wednesday 21 September 2011

Lelaki Dilarang Tonton Bolasepak

Percaya atau tidak, buat pertama kali di dunia, hanya wanita dan kanak-kanak boleh menonton perlawanan bolasepak di Turki. Agak pelik tetapi itulah tindakan berani yang dilaksanakan oleh persatuan bolasepak negara itu bagi menangani keganasan dalam perlawanan bolasepak.

Lebih 41,000 wanita dan kanak-kanak menonton perlawanan Fenerbahce - AP

Mengikut peraturan itu, hanya wanita dan kanak-kanak bawah 12 tahun dibenarkan memasuki stadium untuk menonton perlawanan bolasepak dengan percuma membabitkan pasukan yang telah dihukum kerana keganasan penonton mereka. Kerana segelintir yang buat hal, habis semua penonton lelaki dilarang memasuki stadium.

Ini bukan cakap kosong. Minggu lalu, lebih 41,000 wanita dan kanak-kanak memenuhi Stadium Sukru Saracoglu untuk menyaksikan Fenerbahce menentang Manisapor. Suasana di luar stadium memang unik dengan kaum wanita termasuk yang menggendong bayi beratur panjang semata-mata ingin melihat pasukan kesayangan mereka.

Penulis pasti ramai yang skeptikal dengan wanita yang menonton perlawanan bolasepak. Tapi jangan sekali-kali pandang remeh minat dan kemampuan kaum Hawa ni. Penonton wanita di Turki juga tahu lagu dan sorakan pasukan mereka.

Fenerbahce diarahkan untuk bermain 2 perlawanan tanpa penonton selepas penonton mereka menceroboh padang semasa perlawanan persahabatan menentang juara Ukraine, Shakhtar Donetsk. Bagaimanapun, persatuan bolasepak Turki mengubah peraturan bagi membenarkan kemasukan wanita dan kanak-kanak ke stadium.

Memandangkan di Malaysia juga pernah berlaku keganasan penonton di stadium, peraturan ini mungkin boleh dipraktikkan. Dengan membenarkan kemasukan wanita dan kanak-kanak sahaja, ia boleh dijadikan 'pengajaran' kepada penonton lelaki supaya menjaga tingkah laku semasa menonton perlawanan bolasepak. Tapi penonton wanita pula janganlah terlalu emosi. Silap-silap lebih ganas daripada lelaki!


~ruudvanirwan~

No comments:

Post a Comment