Sunday 18 September 2011

Jangan Salahkan Mini Skirt

Khabarnya puluhan wanita dan kanak-kanak dilihat memakai mini skirt di tengah Jakarta tetapi bukan untuk pertunjukan fesyen atau catwalk. Sebaliknya mereka memprotes statement panas gabenor Jakarta, Fauzi Bowo yang mendakwa pakaian "provokatif" sebagai punca serangan seksual.

Sebahagian peserta yang menyertai protes. - Foto Reuters

Menurut Fauzi, kaum wanita tidak sepatutnya berpakaian mendedah aurat jika mahu mengelak menjadi mangsa rogol atau serangan seksual. Beliau segera memohon maaf tetapi kenyataannya mendapat liputan meluas menerusi media tempatan dan Twitter.

Awal bulan ini seorang wanita dirogol oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah van mini yang digunakan sebagai pengangkutan awam (mungkin angkutan kota).

Mengikut data Suruhanjaya Nasional Indonesia Bagi Hal Ehwal Wanita terdapat lebih 100,000 kes keganasan ke atas wanita tahun ini. Empat peratus daripada kes itu melibatkan kejadian rogol.

Fauzi mungkin mempunyai niat yang baik sewaktu mengeluarkan statement itu tetapi ia dilihat melampau, kejam dan tidak masuk akal. Beliau juga seakan melihat perkara ini dari satu sudut sahaja iaitu pakaian seksi.

Sekurang-kurangnya Fauzi cuba menyampaikan mesej kepada kaum wanita di Indonesia supaya tidak memberi ruang kepada lelaki-lelaki gatal untuk bertindak di luar batasan. Tetapi apakah jaminan wanita yang berpakaian sopan atau menutup aurat tidak akan dirogol?

Penulis sendiri pernah menaiki angkutan kota di Indonesia yang jauh lebih kecil dan sempit daripada bas mini yang pernah 'merajai' Kuala Lumpur satu ketika dahulu. Dalam keadaan begitu, tidak kira lah wanita yang memakai mini skirt, jeans atau jubah, malah lelaki sekalipun akan terdedah kepada gangguan seksual (nasib baik penulis tidak mengalaminya).

Penulis tidak mahu berhujah tentang pakaian yang sesuai atau tidak kerana setiap orang dikurniakan akal untuk berfikir mana yang terbaik sama ada melalui ajaran agama, moral atau pengalaman.

Bagi penulis, pihak berwajib boleh memikirkan kaedah yang terbaik untuk melindungi kaum wanita dan membantu mangsa serangan seksual. Hukuman bagi pesalah seksual perlu lebih tegas. Tidak kira sekecil mana kesalahan itu, ia tetap satu pencabulan hak asasi manusia. Ini mungkin lebih baik daripada membuat statement panas yang mendiskriminasi sesuatu gender.

Selain itu, penerapan nilai agama perlu diberi perhatian di peringkat akar umbi lagi. Kadang-kala kita terlampau mengikut trend terkini hingga lupa pegangan agama. Orang perempuan pula janganlah pakai seksi sangat. Kadang-kadang tak tahan!!!



~ruudvanirwan~

No comments:

Post a Comment