Friday 23 September 2011

Awas, Kamera Tersembunyi. Jangan Jadi Mangsa!

Googlepic

Apa reaksi anda bila terlihat objek seakan kamera tersembunyi yang diletakkan di dalam tandas ketika anda melepaskan 'hajat'? Pasti melompat atau terkejut 'beruk' bercampur marah, geram dan tertekan. Bagi seorang pelancong dari Virginia, William Yockey, ini sudah melampau apatah lagi berlaku di sebuah rangkaian restoran terbesar di dunia.

Dia bertindak menyaman restoran restoran Starbucks sebanyak AS$3 juta (RM9.39 juta) kerana mendakwa syarikat itu meletakkan kamera tersembunyi di dalam tandas. Lebih menarik, kamera tersebut dijumpai oleh anak perempuan Yockey yang berusia lima tahun ketika dia menggunakan tandas di restoran itu.

William menuduh rangkaian kopi global yang beribu pejabat di Seattle itu melakukan pencerobohan privasi, kecuaian, sengaja menimbulkan tekanan emosi dan cuai dalam memberi latihan dan penyeliaan kakitangan.

"Ia amat memalukan, menghina dan berkemungkinan sekarang, video itu terdapat di dalam Internet," katanya kepada stesen televisyen ABC News.

Lantaran itu, peguam William, Hank Schlosberg meminta mahkamah Daerah Columbia untuk melakukan perbicaraan yang mengandungi juri, ganti rugi sebanyak AS$1 juta (RM3.13 juta) dan AS$2 juta (RM6.26 juta ) sebagai ganti rugi hukuman kerana melakukan pencerobohan privasi.

Penulis bersimpati dengan William dan anaknya tetapi jika benar dakwaan itu, bagaimana pula dengan pelanggan lain yang tidak sedar kewujudan kamera tersembunyi di dalam tandas tersebut? Apa lagi jika video 'aksi' mereka tersebar luas di Internet. Mengaibkan!

Kejadian seumpama ini pernah berlaku di negara kita di mana kamera tersembunyi dijumpai di bilik mandi, bilik hotel, apartment dan tandas. Antara kes yang hangat ialah penemuan kamera tersembunyi di apartment pelakon Nasha Aziz dan rumah sewa sekumpulan pelajar IPT.

Mungkin masih ada kamera tersembunyi yang belum dijumpai di luar sana. Oleh itu, berhati-hatilah bila menggunakan sebarang kemudahan awam. Perhatikan jika ada objek pelik di sekeliling anda. Mana tahu, ia mungkin kamera tersembunyi yang sedang asyik merakam aksi anda tanpa disedari. Awas, jangan jadi mangsa!

* Sumber AFP


~ruudvanirwan~

No comments:

Post a Comment