Thursday, 23 February 2012

Festival Peperangan Pasola Yang Mendebarkan

Siapa tak kenal watak antagonis Menteri Pasola lakonan Hussein Abu Hassan dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan P. Ramlee. Di Indonesia juga ada Pasolanya sendiri iaitu Festival Pasola yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Pulau Sumba, Provinsi Nusa Tenggara Timur. Dahulu dikenali sebagai Pulau Cendana, Sumba merupakan daerah yang terkenal kerana melahirkan penunggang kuda terbaik di Nusantara. Kudanya juga agak berbeza kerana 'perkahwinan campur' kuda tempatan dan kuda Arab yang menjadikannya lebih besar.

2 kumpulan berkuda sedia bertarung. - Reuters

Pasola berasal dari perkataan "sola" atau "hola" yang bermaksud sejenis lembing kayu. Apabila ditambah imbuhan "pa" (pa-sola, pa-hola) maksudnya menjadi permainan. Oleh itu, pasola atau pahola bererti permainan peperangan menggunakan senjata lembing kayu antara dua kumpulan berkuda. Ia merupakan sebahagian daripada upacara tradisional masyarakat Sumba yang masih menganut agama asli mereka iaitu Marapu ketika musim menuai.

Pertarungan yang biasa 'makan darah'. - catatanwarungkopi.blogspot.com

Meskipun sering mengorbankan nyawa, namun festival ini tetap diadakan setiap tahun. Acara Pasola biasanya berlangsung antara bulan Februari - Mac selama 1 atau 2 hari sahaja selama 2 hingga 3 jam. Sebelum Pasola dimulakan, pada pagi hari berkenaan mereka akan mengikuti ritual yang dipanggil adat nyale di pantai.

Adat nyale di tepi pantai. - catatanwarungkopi.blogspot.com

Permainan Pasola diadakan di 4 kampung Kabupaten Sumba Barat iaitu Kodi, Lamboya Wonokaka dan Gaura mengikut giliran. Walaupun lokasi Pasola agak jauh dari kampung, orang ramai pasti 'turun padang' bersama kaum keluarga untuk menonton permainan peperangan turun-temurun itu. Festival Pasola bukan sahaja menarik minat pengunjung tempatan malah antarabangsa.

Penunggang kuda berbakat. - pareraz.blogspot.com


~ruudvanirwan~

No comments:

Post a Comment