Sunday, 25 September 2011

Ulangtahun ke-20 Nevermind

Pejam, celik, pejam, celik, album Nirvana berjudul Nevermind sudah pun 'berusia' 20 tahun. Bagi peminat tegar Nirvana, album tersebut pastinya masih segar dalam ingatan mereka. Diterbitkan pada 24 September 1991, ia mencetus fenomena global dan memperkenalkan muzik grunge kepada mainstream. Tanpa diduga, album itu laris 'bak pisang goreng panas' dan mendapat pelbagai respon positif di media massa walaupun dihasilkan dengan bajet 'ciput' iaitu 65,000 USD. Malah ia turut diiktiraf sebagai salah sebuah album rock terbaik sepanjang zaman.

Nevermind terjual lebih 30 juta unit - Googlepic

Hanya beberapa bulan selepas pelancarannya, album tersebut telah menduduki tangga pertama pada carta jualan Billboard di Amerika mengenepikan album Raja Pop Michael Jackson berjudul Dangerous. Seterusnya Nevermind menduduki tangga pertama di carta-carta jualan album serata dunia. Lagu hit “Smells Like Teen Spirit” menjadi seakan antem rasmi Nirvana dan menjadi pemangkin populariti Nirvana secara global. Antara lagu lain yang menjadi siulan remaja termasuk "Come As You Are", "Lithium", "In Bloom" dan "Polly". Sehingga kini, album Nevermind telah terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia termasuk 10 juta unit di US sahaja.

Grohl, Cobain, Novoselic - Googlepic

Trio Nirvana - mendiang Kurt Cobain (vocalist/guitarist), Krist Novoselic (bassist) dan Dave Grohl (drummer) yang berasal dari sebuah kota nelayan di Washington, mencapai kemuncak kerjaya mereka dan menjadi antara pengaruh yang kuat bagi sejarah muzik Rock. Album Nevermind yang pada awal terbitannya dulu berjaya mencetuskan peralihan budaya muzik, masih dapat dirasai impaknya walaupun selepas dua dekad.

Sepanjang dua dekad ini kita dapat lihat banyak band yang lahir dari pengaruh muzik Nirvana. Ternyata, melalui album Nevermind, Nirvana telah merubah haluan muzik popular dan sehingga kini ia menjadi inspirasi buat penggiat muzik bebas dan mainstream. Seingat penulis, fenomena Nirvana dan grunge di Malaysia hanya tercetus selepas kematian Cobain pada 8 April 1994. Ia membawa satu trend baru dari segi muzik, fesyen dan attitude serta melahirkan ramai Cobain wannabes. Hampir setiap band baru ada pengaruh Nirvana seperti Butterfingers di awal kemunculan mereka. Paling menarik, kalau nak belajar main gitar mesti main lagu Nirvana dulu!

Nevermind Super Deluxe Edition - Googlepic

Sebagai 'buah tangan' kepada peminat genre grunge, Universal Music akan memasarkan semula album Nevermind dalam versi Super Deluxe Edition sempena ulang tahun ke-20 penerbitan album ini. Nevermind Super Deluxe Edition yang akan dipasarkan pada 26 September ini mengandungi 4 keping CD dan 1 DVD selain sehelai t-shirt eksklusif Nirvana (selagi stok masih ada). Pastinya ia menjadi salah satu koleksi berharga buat peminat tegar Nirvana.

Apa yang menarik, album ini memuatkan beberapa ‘unseen cut’ seperti rakaman konsert yang tidak pernah ditayangkan, penampilan Nirvana di BBC Radio, rakaman Live serta lagu remix. Apa tunggu lagi? Dapatkannya di pasaran!


~ruudvanirwan~

No comments:

Post a Comment