Kejadian seumpama ini hanya menunjukkan budaya selenggaraan atau maintenance masih rendah dan kurang dipraktikkan oleh pihak pengurusan sesebuah premis atau bangunan . Tidak dinafikan kos maintenance agak tinggi dan sentiasa meningkat tetapi pihak pengurusan seharusnya meletakkan keutamaan kepada aspek keselamatan. Jika hendak berjimat sekalipun janganlah memperjudikan nyawa pengguna yang tidak berdosa. Sebaliknya, amalkan penjimatan pada penggunaan air, elektrik, kertas atau tisu tandas.
Selain itu, penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memastikan pihak pengurusan bangunan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan. Tiada guna meletakkan hukuman yang keras jika penguatkuasaan dan pemantauan juga suam-suam kuku. Sampai bila isu ini harus berpanjangan? Sehingga ramai lagi yang cedera atau nyawa melayang?
Berikut adalah petikan insiden tersebut.
KUALA LUMPUR — Seorang wanita hamil tujuh bulan patah kaki kanan selepas lif yang dinaikinya jatuh terhempas di pusat membeli belah Selayang Mall di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa Norazlina Mohd. Yusoff, 25, bersama enam lagi ahli keluarganya dan beberapa individu lain menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah.
Norazlina berkata, beliau sekeluarga masuk ke dalam lif itu dari tingkat empat kawasan parkir sebelum lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang yang merupakan satu keluarga dan tiba-tiba berhenti di tingkat ‘G’ (ground floor) tanpa pintu terbuka.
"Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang.
Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan bangunan itu dan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum yang tercedera dikejarkan ke hospital tersebut.
"Ketika kejadian kira-kira 12 orang berada dalam lif termasuk keluarga saya yang terdiri dari suami, emak, nenek dan ahli keluarga lain dan ia berlaku sekelip mata...semua orang terjatuh dan keadaan menjadi huru-hara.
"Saya sendiri cuba menahan dari terjatuh bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan dan akibatnya kaki kanan patah namun saya bersyukur bayi dalam kandungan selamat, malah anak saudara berusia 8 bulan yang dikendong suami turut selamat,” kata Norazalina, seorang kerani swasta.
Norazalina berkata mereka menunggu kira-kira 20 minit sebelum ambulans tiba dan ahli keluarganya yang cedera ringan seperti neneknya, mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu. Katanya, bagaimanapun mereka yang lain tidak mengalami kecederaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak dimaklumkan dan tidak mendapat sebarang laporan berkenaan insiden itu dari pengurusan pusat membeli belah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi pengurusan berkenaan sebelum menyiasat punca bagaimana lif tersebut terhempas - sama ada berlaku kecuaian atau faktor lain. — Bernama
~ruudvanirwan~
No comments:
Post a Comment