
KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar lama menunjukkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir di laman sosial kelmarin.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar dalam kenyataan semalam berkata laporan polis terhadap perbuatan tidak bertanggung jawab itu dibuat di balai polis Ampang Jaya pada jam 6.30 petang.
“Kami tidak ada pilihan lain, kami terpaksa  melaporkan perkara itu kepada polis kerana ia amat serius,” katanya  dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan keadaan panik yang tidak sepatutnya apabila penulis yang menyiarkan gambar berkenaan berbohong dengan mendakwa kejadian itu berlaku semalam.
“Talian  hotline kami dihujani panggilan telefon daripada orang ramai dan pejabat  komunikasi korporat kami menerima panggilan dari pihak media bertanya  mengenai kejadian yang dikatakan itu,” katanya.
Shahril  berkata beliau turut mendapat banyak panggilan daripada rakannya  bertanya mengenai kejadian itu yang turut menimbulkan suasana panik di  kalangan penumpang.
  “Saya difahamkan terdapat penumpang yang biasa menggunakan komuter  memutuskan untuk menggunakan alternatif lain untuk pulang ke rumah  apabila mendengar khabar angin itu,” katanya. - Harian Metro
 
No comments:
Post a Comment