Satu lagi kekalahan buat Lee Chong Wei menunjukkan jaguh badminton negara itu semakin hilang taringnya.
Baru sebentar tadi harapan Chong Wei untuk merangkul Super Series Masters Finals 2011 berkecai apabila beliau tumpas kepada bintang China yang semakin menyinar, Chen Long dalam pertarungan separuh akhir yang cukup mendebarkan.
Chong Wei tewas 16-21 dalam set pertama tetapi bangkit untuk memenangi set kedua 21-16. Rubber set berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain memberikan persembahan terbaik. Namun selepas memerah segala kudratnya, Chong Wei terpaksa akur dengan kehebatan pemain yang lebih muda daripadanya apabila tumpas 18-21.
Kemenangan Chen Long menunjukkan betapa China tidak pernah berhenti melahirkan bintang-bintang muda badminton yang bakal menggegar dunia. Bukan Lin Dan sahaja yang perlu digeruni malah ramai lagi pemain yang menunggu giliran.
Jika dilihat pada ranking IBF, kita patut risau. Chong Wei adalah satu-satunya wakil negara yang berada dalam kelompok 10 pemain terbaik manakala China mempunyai 4 pemain diketuai Lin Dan (2), Chen Long (3), Chen Jin (5) dan Du Pengyu (9).
Jelas sekali kita terlalu bergantung kepada Chong Wei selama bertahun-tahun. Begitu juga dengan beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang gagal ke separuh akhir selepas kalah pada kesemua tiga perlawanan kumpulan.
Apa sudah jadi dengan program pembangunan badminton negara? Di manakah barisan pelapis kita? Seharusnya BAM bertindak segera sebelum badminton pula melalui zaman suram seperti skuad sepaktakraw.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sahaja.
~ruudvanirwan~
No comments:
Post a Comment