KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar lama menunjukkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir di laman sosial kelmarin.
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar dalam kenyataan semalam berkata laporan polis terhadap perbuatan tidak bertanggung jawab itu dibuat di balai polis Ampang Jaya pada jam 6.30 petang.
“Kami tidak ada pilihan lain, kami terpaksa melaporkan perkara itu kepada polis kerana ia amat serius,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata kejadian itu menyebabkan keadaan panik yang tidak sepatutnya apabila penulis yang menyiarkan gambar berkenaan berbohong dengan mendakwa kejadian itu berlaku semalam.
“Talian hotline kami dihujani panggilan telefon daripada orang ramai dan pejabat komunikasi korporat kami menerima panggilan dari pihak media bertanya mengenai kejadian yang dikatakan itu,” katanya.
Shahril berkata beliau turut mendapat banyak panggilan daripada rakannya bertanya mengenai kejadian itu yang turut menimbulkan suasana panik di kalangan penumpang.
“Saya difahamkan terdapat penumpang yang biasa menggunakan komuter memutuskan untuk menggunakan alternatif lain untuk pulang ke rumah apabila mendengar khabar angin itu,” katanya. - Harian Metro
No comments:
Post a Comment